S. CHANDRU
S. CHANDRU

Ketua Pegawai Eksekutif PTHM, S. Chandru berkata, penyertaan dibuka sehingga 15 Julai depan, manakala acara kemuncak Malam AHM 2018 akan diadakan pada 28 September depan bermula pukul 8 malam di Swiss Garden Hotel Melaka.

 

“Terdapat enam kategori utama yang dipertandingkan iaitu kategori Pembudayaan Hijau, Projek Hijau, Produk Hijau, Inovasi Hijau, Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hijau dan Komuniti Hijau.

“Penyertaan bagi semua kategori ini dibuka kepada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) institusi pengajian tinggi, syarikat swasta, industri dan hotel,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar khas berhubung penganjuran AHM 2018 di pejabantnya di Wisma Negeri, Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Audit AHM 2018, Mohd. Hafizam Mustaffa; Pengurus Program AHM 2018, Nurliana Zainul Adnan dan Pengurus Majlis AHM 2018, Siti Aishah Mihat.

Sementara itu, Chandru memberitahu, bermula tahun ini, bagi kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah akan menggunapakai kriteria eco-school melibatkan sekolah yang paling aktif serta terbaik melaksanakan inisiatif di bawah program Eco-School Melaka akan diberikan anugerah.

Tambahnya, AHM 2018 juga menampilkan satu kategori baharu yang dikhaskan kepada komuniti hijau untuk penduduk setempat yang melaksanakan pembudayaan hijau di peringkat komuniti masing-masing meliputi aktiviti seperti kebun kejiranan, kompos, penanaman pokok, kitar semula dan sebagainya.

“Jawatankuasa panel penilai terdiri daripada 11 ahli panel yang merupakan dalam kalangan penjawat awam dan swasta. Pemenang bagi setiap kategori AHM 2018 akan menerima sijil, trofi dan wang tunai.

“Saya berharap agar lebih banyak penyertaan daripada semua peringkat agensi kerajaan dan swasta negeri. Saya juga yakin AHM 2018 bakal menyebarkan semangat dan budaya hijau di semua peringkat dan memberikan penghargaan kepada mereka yang mengamalkannya,” ujarnya.

Bagi mereka yang berminat dan ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang rasmi program tersebut menerusi www.melakagreentech.gov.my atau hubungi pihak penganjur di talian 06-3333333 (sambungan 4247). - UTUSAN ONLINE

Untuk penyertaan sila klik : Jom Daftar