Tukar Tulisan kehijauan Tukar Tulisan kemerahan Tukar Tulisan Kebiruan   Kembali Asal Kembali Asal Kembali Asal
 
Facebook
                                 


MELAKA TANPA BEG PLASTIK DAN POLISTERIN

Umum sedia maklum akan pelaksanaan Program “Hari Tanpa Beg Plastik” yang telah dilaksanakan di Melaka. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menjalankan kempen hari tanpa beg plastik setiap sabtu di setiap pasaraya seluruh negeri di Malaysia. Kerajaan Negeri Melaka melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Melaka (MMKN) telah meluluskan kertas cadangan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka supaya Program “Hari Tanpa Beg Plastik” di negeri Melaka ditambah secara berperingkat sepertimana di jadual berikut:

Hari

Tarikh pelaksanaan

Penglibatan

Sabtu sahaja

1 Januari 2011

Semua pasaraya

Jumaat & Sabtu

1 April  2014

Semua pasaraya

Jumaat, Sabtu &Ahad

1 Januari 2015

Semua pasaraya

Setiap Hari

1 Januari 2016

Seluruh negeri melaka

 

Negeri Melaka telah menambah satu lagi inisiatif hijau dengan meluluskan kertas cadangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 25 Mac 2015 mengenai Cadangan Pelaksanaan Program Menghentikan Penggunaan Bekas Polisterin di Seluruh Negeri Melaka. Program Melaka Tanpa Polisterin telah bermula pada 1 September 2015 di seluruh Negeri Melaka.

Beberapa bengkel dan mesyuarat telah dijalankan bagi membincangkan pelaksanaan program Melaka Tanpa Beg Plastik Dan Polisterin serta tugas dan peranan jabatan yang terlibat dalam memastikan kejayaan program tersebut. Bengkel dan mesyuarat yang diadakan melibatkan penyertaan daripada pasaraya, penjaja, kedai runcit, pembekal barangan biodegradasi serta agensi kerajaan yang terlibat.

Lanjutan daripada itu, Program Melaka Tanpa Beg Plastik dan Polisterin dilaksanakan  di seluruh Negeri Melaka berkuatkuasa 1 Januari 2016 pada setiap hari. Sebagai alternatif, kerajaan negeri menggalakkan penggunaan secara meluas beg kertas dan produk biodegradasi sebagai bahan pengganti kepada beg plastik dan polisterin. Produk biodegradasi merupakan produk yang mudah kompos dan mesra alam. Produk ini juga menggunakan sumber dari bahan yang boleh diperbaharui seperti sumber dari tumbuhan seperti jagung, ubi kayu, tebu, kelapa sawit dan sebagainya. Penggunaan produk biodegradasi ini boleh mengurangkan jumlah sisa pelupusan sampah dan menjimatkan kawasan tapak pelupusan

Program  Melaka Tanpa Beg Plastik Dan Polisterin ni bertujuan untuk memupuk kesedaran kepada pengguna dari segenap usia akan bahaya penggunaan beg plastik dan polisterin kepada manusia dan alam sekitar seiring dengan visi Melaka Negeri Bandar Teknologi Hijau menjelang tahun 2020. Semua pihak perlu bekerjasama memainkan peranan dalam memastikan kejayaan program tersebut. Marilah bersama menyokong usaha kerajaan negeri Melaka dalam meningkatkan kualiti alam sekitar kita.