Tukar Tulisan kehijauan Tukar Tulisan kemerahan Tukar Tulisan Kebiruan   Kembali Asal Kembali Asal Kembali Asal
 
Facebook
                                 


MELAKA KOMITED LAKSANAKAN INFRASTRUKTUR HIJAU

 

MELAKA 19 April – Kerajaan negeri telah melaksanakan kaedah berkesan termasuk menggunakan langkah penyelesaian prasarana mesra alam bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap penggunaan infrastruktur hijau (GI).

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pengiktirafan penggunaan GI yang meningkat adalah peluang yang tidak seharusnya dilepaskan untuk Melaka memberi tumpuan yang serius kepada halang­an pengurusan air yang kompleks.

“Pendekatan itu berkisar kepada sistem alam semula jadi atau separuh semula jadi yang memberikan perkhidmatan untuk pengurusan bahan air dan memberi manfaat kepada infrastruktur konvensional.

“Bagi kerajaan negeri, penyelesai­an GI boleh digunakan untuk membantu mencapai matlamat di pelbagai kawasan rancangan polisi,” katanya.

Beliau berucap pada Forum Air Sedunia kali ketujuh bertemakan Infrastruktur Semula Jadi Untuk Bandar Raya Air Selamat di Pusat Pameran dan Konvensyen Daegu, Korea Selatan, kelmarin.

Idris yang mengetuai delegasi kerajaan negeri Melaka menyampaikan ucapan tersebut di hadapan lebih 1,000 peserta dari 150 negara dalam forum yang bermula pada Ahad lalu bagi membincangkan kepentingan memulihara amalan teknologi hijau untuk kesejahteraan dunia.

Forum anjuran Persatuan Air Antarabangsa (IWA) dan Bank Pembangunan Asia (ADB) itu turut diha­diri Pengarah Eksekutif IWA, Ger Bergkamp; Pakar Alam Sekitar dan Iklim ADB, Sonia Chand Sandhu; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Kamarudin Md. Shah.

Idris berkata, pendekatan elektro-klorin oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bagi menggantikan gas klorin terbuka sebagai pembasmian kepada rawatan air adalah pelopor kepada usaha teknologi hijau oleh syarikat itu.

Katanya, proses itu melepaskan gas hidrogen ke udara sebagai produk sampingan hasil timbal balas konsentrasi karbon dioksida.

“Inovasi masa depan SAMB adalah menggunakan tenaga yang diperbaharui daripada panel solar untuk menghasilkan tenaga suria menggunakan kawasan atau lokasi yang sesuai di empangan dan kemudahan SAMB,” jelasnya.

 

Sementara itu Idris berkata, kadar air tidak terhasil (NRW) adalah fokus utama SAMB dalam menjimatkan ekosistem dan pada tahun 2008, SAMB memulakan pelan yang agresif untuk meningkatkan infrastruktur air dalam usaha mengurangkan kehilangan air tersebut.